MIRI: Kerajaan Sarawak telah memperuntukan sebanyak RM648 juta bagi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di 72 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan setiap DUN diperuntukan sebanyak RM9 juta untuk projek RTP, MRP dan PPRMS untuk pembangunan di kawasan masing-masing.
“Sebanyak RM9 juta telah diperuntukan kepada setiap kawasan DUN di bawah GPS untuk dilaksanakan projek RTP, MRP dan PPRMS.
“Ini tidak termasuk peruntukan daripada ahli-ahli Parlimen yang mewakili Kerajaan Sarawak,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Simposium Usahawan kontraktor Bahagian Miri di Hotel Imperial Miri.
Menyentuh mengenai projek RTP, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan Menteri Pembangunan Perindustrian & Usahawan Sarawak menjelaskan projek RTP dilaksanakan selaras dengan dasar kerajaan untuk memberi fokus kepada transformasi pembangunan luar bandar.
“Ini merupakan inisiatif kerajaan bagi mempercepatkan pembangunan sosio ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.
“Untuk menjadikan kawasan luar bandar terus dipergiatkan pembangunannya, Kerajaan Sarawak telah meluluskan siling peruntukan sebanyak RM2 billion bagi melaksanakan projek RTP di bawah Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11).
“Setiap projek RTP dilaksanakan oleh agensi pelaksana yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun di Sarawak,” katanya.
Kesemua projek RTP yang telah diluluskan Kerajaan Sarawak akan melalui proses perolehan sama ada cabut undi atau tender.
Di Sarawak, terdapat 5,900 kontraktor Bumiputera dalam pelbagai kategori yang telah berdaftar dengan Unit Pendaftaran Pontraktor & Juruperunding di bawah Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak.
“Jumlah 5,900 kontraktor Bumiputera ini terlibat dalam bidang mekanikal, elektrikal, pembekalan dan perkhidmatan.
“Mereka ini berdaftar dengan Unit Pendaftaran Pontraktor dan Juruperunding di bawah Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak
“Daripada jumlah ini, 518 kontraktor Bumiputera memiliki kelas C hingga F di Miri,” tambahnya.
Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak telah merangka usaha dan inisiatif yang efektif untuk membantu usahawan kontraktor Bumiputera untuk terlibat secara aktif dalam menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negeri ini.
Kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman kepada para usahawan demi untuk mengukuhkan serta memantapkan keupayaan dalam proses penyampaian atau penyiapan kerja-kerja yang dijanjikan.
“Ini merangkumi agensi-agensi kerajaan negeri seperti SEDC, STIDC, MIED, MITEC, MANRED dan lain-lain.
“Begitu juga dengan agensi kerajaan persekutuan seperi SME Corp, MARA, MIDF, PUNB, SSM, AIM, TEKUN, dan TERAJU.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan sedang berusaha memperkenalkan Sarawak Enterpreneur Micro Credit bagi usahawan termasuk kontraktor kecil sama ada Bumiputera atau Bukan Bumiputera.